MCA telah mengarahkan semua bahagiannya agar melantik tiga hingga lima
orang terlibat dalam media baru dalam menangani banyak berita dan
khabar angin yang tidak berasas yang disebar luas oleh parti
pembangkang, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
"Ini
adalah supaya kita dapat memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan
dakyah parti pembangkang yang mana banyak berita dan khabar angin yang
tidak berasas yang disebar luas oleh parti pembangkang. Jika ini tidak
ditangani, lama kelamaan orang akan percaya dan ia akan menjadi satu
kebenaran," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah
pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tung Hua di S2 Heights di
sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Naib
Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam supaya
Barisan Nasional (BN) dan semua parti komponennya kini perlu bersiap
sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tanpa dolak-dalik lagi.
Chua
berkata beliau bersetuju dengan saranan Hishammuddin itu bahawa BN
seharusnya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum. Katanya
langkah meningkatkan usaha dari segi publisiti melalui media baru itu
merupakan sebahagian daripada usaha MCA menghadapi pilihan raya umum
akan datang.
"Sejak saya mengambil alih kepimpinan MCA dan
barisan kepimpinan baru yang dipilih, kami telah meletakkan objektif
utama dalam parti iaitu bagaimana kita hendak menyatupadukan ahli MCA,
bagaimana kita hendak melakukan tranformasi parti dan bagaimana kita
bergerak sebagai satu pasukan.
"Selain itu ialah bagaimana kita bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.
Chua
berkata usaha ke arah itu telah dimulakan dengan pendaftaran pengundi
dengan memastikan semua ahli MCA mendaftar sebagai pengundi.
Dalam
perkembangan lain, beliau berkata adalah tidak benar menyatakan bahawa
kerajaan tidak memberi peruntukan kepada sekolah Cina dan hanya memberi
peruntukan menjelang pilihan raya kecil.
"Apa yang benar ialah
peruntukan yang diberikan untuk menampung pembangunan sekolah aliran
Cina mungkin tidak mencukupi dalam lima tahun akan datang. Dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan, jumlah peruntukan yang telah diluluskan
ialah sebanyak RM350 juta.
"Kita akui jumlah peruntukan itu
tidak dapat menampung tetapi tidak benar menyatakan kerajaan tidak
memberi peruntukan.....beri tetapi tidak mencukupi," katanya.
No comments:
Post a Comment